Jan 08, 2020 - FASDebaran untuk sepak mula kejohanan Selangor Asia Challenge 2020 yang bakal berlangsung tidak lama lagi semakin dirasakan. Perlawanan yang melibatkan pasukan dari empat pasukan jagoan dari rantau ASEAN ini bakal menyaksikan pasukan tuan rumah, Selangor bakal disertai oleh True Bangkok United, Persib Bandung dan pemenang treble Vietnam, Hanoi FC.
Di FAS Training Centre, kesemua pemain skuad senior sudah mula kembali dari cuti panjang untuk menjalani latihan dengan giat bersama pihak kejurulatihan demi memastikan mereka cukup bersedia untuk kejohanan ini.
Bercakap kepada media Red Giants, ketua jurulatih Selangor, B.Satiananthan mengakui beliau mempunyai lebih masa untuk merangka strategi dan menilai kemampuan pemain beliau berbanding musim lepas, khususnya setelah skuad kendaliannya telah diperkuatkan dengan pemain-pemain baru.
“Harus diingat bahawa saya menyertai Selangor pada November 2018, masa yang singkat sebelum bermulanya musim lalu. Apabila saya dikekalkan pada musim ini, segala persediaan mampu saya lakukan jauh lebih awal,” kata jurulatih berusia 61 tahun ini.
“Kita telah merancang dengan baik, pihak pengurusan juga banyak membantu, mereka dapatkan pemain yang saya mahukan selain mengekalkan pemain yang saya perlukan. Ia menjadi tanggung jawab saya unutk memastikan Selangor beraksi dengan baik untuk liga, Piala Malaysia dan Piala FA.”
Satiananthan juga menegaskan bahawa Selangor adalah pasukan yang lebih baik pada musim ini berbanding musim lepas kerana beberapa aspek seperti kewujudan fasiliti latihan yang lebih baik, masa persediaan yang lebih panjang selain kehadiran pemain-pemain baru yang mempunyai aura positif selain pemain-pemain yang menunjukkan karekteristik yang baik.
“Kita mempunyai karekter seperti Brendan Gan, dia adalah contoh yang baik kepada pemain muda, kita juga mempunyai Sandro (da Silva) yang sentiasa memberikan yang terbaik, kita ada Taylor (Regan) sebagai ketua, kita juga ada Swirad yang sangat berdisiplin.”
Ditanya mengenai kejohanan Selangor Asia Challenge, Satiananthan mengatakan ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana pasukan yang menyertainya adalah pasukan yang mempunyai kekuatannya yang tersendiri.
“Saya tahu pasukan yang dijemput adalah pasukan yang kuat seperti Persib Bandung, mereka baharu sahaja menamatkan liga mereka. Bermain dengan pasukan yang masih lagi dalam in season adalah sukar kerana mereka sedang bermain di tahap tertinggi mereka. Mereka memang sudah bersedia dan bermain dengan competitive mode, jadi mereka berbeza dengan kita.”
Satiananthan juga mengatakan yang beliau perlu melakar stategi yang tersendiri untuk menghadapi kejohanan ini kerana takkan mampu menggunakan pemain yang sama dalam tempoh 48 jam dan lebih mementingkan perlawanan pembukaan liga pada penghujung Februari ini.
“Kejohanan ini adalah kejohanan pramusim. Jika kita mampu menjadi juara, ia adalah bonus. Matlamat kejohanan pramusim ini adalah untuk menyediakan pemain ke arah competitive mode, memastikan mereka cukup cergas, inilah yang kita akan usahakan. Untuk kejohanan 2 hari berturut-turut, mustahil untuk saya meletakkan 11 pemain terbaik untuk kedua-dua perlawanan. Tetapi, saya pasti pemain yang bakal bermain dalam kejohanan ini bakal memberikan komitmen 100%,” jelas Satiananthan.
Berlangsung selama dua hari, setiap pasukan yang menyertai Selangor Asia Challenge hanya akan bermain dua perlawanan sahaja dan pasukan yang mempunyai rekod terbaik daripada setiap perlawanan akan dinobatkan sebagai juara. Untuk menambahkan kemeriahan kejohanan, sistem pengiraan mata dan jumlah gol bakal diambil kira seperti kejohanan Emirates Cup di Eropah.
Sebagai ganjaran, juara akan membawa pulang wang tunai USD10,000 dan naib juara membawa pulang USD5,000 selain menjulang piala pusingan yang ditempa oleh Royal Selangor. Kesemua perlawanan ini akan berlangsung di Stadium Shah Alam bermula jam 5.00 petang hingga 11.00 malam.
Selain daripada perlawanan bola sepak, Selangor Asia Challenge 2020 juga bakal dimeriahkan dengan Festival Kebudayaan Asia Tenggara di mana pelbagai aktiviti berasaskan kebudayaan dari pelbagai negara akan berlangsung di perkarangan Stadium Shah Alam.
Festival kebudayaan ini juga bakal melibatkan pameran sejarah bola sepak Selangor, pasar makanan ASEAN serta zon e-sukan.
Pas dua hari untuk menyaksikan kesemua perlawanan kini sudah mula dijual bermula di laman web faselangor.my dengan harga RM30.00 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak) untuk kategori terbuka.
Bagi pemegang Team Card Red Giants 2020 pula, mereka boleh menikmati diskaun istimewa dan boleh mendapatkan pas tersebut dengan RM15.00 sahaja untuk kategori yang sama.